Wan Nur Laila Muhammed Arifin, 32, (tengah) menerima sijil Skim Insurans Am Selangor (INSAN) daripada Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari selepas melancarkan skim perlindungan percuma itu sempena Jelajah Selangor Penyayang di Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Jutaan daftar insurans percuma, perkukuh agenda kesejahteraan rakyat

SHAH ALAM, 2 JAN: Seramai 3.56 juta penduduk di negeri ini memohon Skim Insurans Am Selangor (INSAN) setakat 17 November lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jutaan pendaftaran membuktikan inisiatif tersebut disambut baik oleh rakyat seiring agenda negeri untuk menerapkan kesejahteraan insani dalam masyarakat penyayang.

“Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion ini memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

“Jutaan pendaftaran membuktikan inisiatif ini disambut baik oleh rakyat Selangor. Ini salah satu agenda negeri menerapkan kesejahteraan insani dalam masyarakat penyayang,” katanya menerusi Facebook.

INSAN adalah perlindungan insurans am berkumpulan dilaksanakan agensi Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada enam juta rakyat Selangor dan ditawarkan kepada individu berumur 30 hari sehingga 80 tahun.

Syarat kelayakan pemohon adalah pemegang kad pengenalan atau My Kid beralamat di Selangor, kad pengenalan kod Selangor atau pengundi di Selangor.

Pendaftaran melalui aplikasi Wavpay yang boleh dimuat turun di AppStore, Google Play atau Huawei App Gallery. Maklumat lanjut, layari programinsan.com.

 


Pengarang :