Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyusun ayam yang dijual di Jualan Ehsan Rahmah (JER) sempena Kempen Discover Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 2023 di Antara Gapi, Serendah pada 17 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah PKPS jadi tarikan istimewa karnival hartanah PKNS

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 17 JUN: Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) antara tarikan istimewa sempena Kempen Discover Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 2023 di Antara Gapi, Serendah di sini hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Hartanah) Ir Md Kamarzan Md Rais berkata jualan murah barangan asas itu diadakan bagi menarik orang ramai mengunjungi karnival hartanah berkenaan.

“Selain mempromosi dan memperkukuh jenama PKNS menerusi penganjuran karnival, jualan murah ini juga bertujuan membantu penduduk mendapatkan barangan asas pada harga murah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Hartanah) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Ir Md Kamarzan Md Rais (kanan) menyiram pokok ketika Program Discover PKNS 2023 di Tasik Antara Gapi pada 17 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Kita harap inisiatif dibawakan PKNS ini membantu penduduk selain menjadi tarikan supaya lebih ramai pengunjung hadir memeriahkan karnival ini,” katanya selepas merasmikan kempen tersebut.

Md Kamarzan berkata PKNS menyasarkan antara 3,000 hingga 5,000 pengunjung menghadiri karvnival yang berlangsung hingga esok yang mana rata-rata pengunjung menyambut baik inisiatif tersebut.

Suri rumah, Rohaida Kamarudin, 51, dari Kampung Nakhoda, Batu Caves sanggup menempuh perjalanan lebih 30 minit ke Antara Gapi untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga murah.

Rohaida Kamarudin

“Saya memang sentiasa ikuti laman sosial PKPS untuk dapatkan jadual jualan murah. Di luar daging satu kilogram sekarang RM18 di sini hanya RM10 manakala telur sepapan dan ayam seekor hanya RM10 jadi memang dapat jimat banyak perbelanjaan.

“Suami hanya pekerja e-panggilan dengan pendapatan tidak menentu, tambah pula dua anak masih bersekolah jadi saya memang tertunggu-tunggu jualan murah ini kerana mahu jimatkan perbelanjaan,” katanya yang sudah lebih 30 kali mengunjungi JER.

Mansor Jaafar

Bagi pesara, Mansor Jaafar, 70, yang pertama kali mengunjungi jualan murah itu mengakui berbaloi berbelanja di situ kerana dapat berjimat memadangkan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Kebetulan jualan ini diadakan dekat dengan rumah, jadi saya ambil kesempatan beli di sini. Tak sangka harga begitu murah, saya hanya berbelanja RM132 dapat beli ayam, beras, ikan, minyak masak dan daging. Memang bantu jimatkan perbelanjaan,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).


Pengarang :