Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Insentif Haji Muassasah Selangor di Masjid Jamek As-Solihin, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kaunter permohonan Insentif Haji Muassasah dibuka Isnin, Selasa mulai 10 Julai

SHAH ALAM, 26 JUN: Kaunter permohonan Insentif Haji Muassasah kepada jemaah negeri ini akan dibuka setiap Isnin dan Selasa mulai 10 Julai ini, menurut Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata dokumen permohonan boleh dihantar ke Café LG, Bangunan Darul Ehsan dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

“Berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 23 Jun lalu, MBI akan membuka kaunter permohonan Insentif Haji Muassasah 1444H/2023M kepada orang awam bermula 10 Julai depan.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Permohonan insentif ini berakhir pada 29 Ogos dan dokumen diperlukan ialah satu salinan kad pengenalan pemohon beserta surat tawaran mengerjakan Haji Muassasah 1444H/2023M yang menyatakan kos bayaran (muka hadapan sahaja) dan jadual penerbangan yang lengkap dengan kod MUAS,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Azri memaklumkan 1,519 permohonan telah diluluskan sejak inisiatif itu dibuka pada 19 Mei lalu.

“Permohonan yang diluluskan membabitkan peruntukan RM759,500. MBI akan hubungi pemohon selepas diluluskan bagi tujuan pengambilan bantuan,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-55138898 (CSR) atau emel [email protected].

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 3,000 jemaah menerima insentif RM500 Haji Muassasah khusus untuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif melalui MBI turut mengagihkan kit syifa seperti ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen dan pelembap bibir.

Berikut adalah syarat kelayakan:

– Pemohon mestilah warganegara Malaysia.

– Pemohon beralamat di Selangor dan telah mendaftar haji di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji Negeri Selangor.

– Pemohon yang beralamat di luar Selangor (kad pengenalan) tetapi menetap di Selangor masih boleh memohon insentif ini dengan syarat mesti kemukakan dokumen sokongan seperti bil air /api / cukai pintu yang tertera nama pemohon sahaja ATAU surat sokongan pemastautin daripada pemimpin setempat.

– Pemohon merupakan jemaah haji muassasah dari Kumpulan B40 dan M40 sahaja dengan kos bayaran haji yang telah ditetapkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Kos bayaran haji :
Kumpulan B40 – RM10,980.00 Kumpulan M40 – RM15,980.00

– Pemohon beralamat di Selangor namun telah mendaftar haji di luar cawangan Lembaga Tabung Haji Negeri Selangor juga masih boleh memohon dengan syarat mesti kemukakan slip Semakan Daftar Pemilih (MySemakSPR) di Selangor.


Pengarang :