Rosmazieni Mohd Razi ketika ditemui pada program Karnival Jom Heboh 2023 Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival Stadium Shah Alam pada 4 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerjasama negeri sertai Jom Heboh beri manfaat pada pengunjung, khusus golongan muda

SHAH ALAM, 5 JUN: Penganjuran Karnival Jom Heboh yang disertai Kerajaan Negeri memberi pengisian lebih bermanfaat berbanding sebelum ini.

Kakitangan syarikat minyak dan gas, Moktar Mohd Isa, 32, berkata pengisian program pada kali ini lebih mempunyai objektifnya dan tidak hanya memfokuskan hiburan.

“Sebelum ini jika ada Jom Heboh saya memang tidak lepaskan peluang. Namun, pada kali ini, dengan kerjasama disertai Kerajaan Negeri beri sedikit kelainan dalam aspek pengisian.

“Sebelum ini hanya hiburan semata-mata dan kini ada objektif utamanya dengan memfokuskan generasi muda,” katanya ditemui pada program tersebut.

Moktar Mohd Isa, 33. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, pekerja swasta, Rosmazieni Mohd Razi,41, berkata Karnival Jom Heboh antara program keramaian pertama yang dihadirinya dengan membawa anak-anak.

“Saya bawa anak-anak kerana sudah lama tidak sertai program keramaian seperti ini. Sangat bagus kerana pelbagai program dan maklumat dikongsi kepada pengunjung.

“Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Media Prima Berhad amat bagus dan harap boleh diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, program julung kali disertai Kerajaan Negeri itu dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Berlangsung di dataran karnival Stadium Shah Alam, program turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan Haqiem Rusli, Afieq Shazwan dan Kumpulan OVA.

Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Media Prima Berhad itu menjadi medan untuk mendekati golongan muda selain dapat mewujudkan masyarakat Madani menerusi penganjuran aktivitinya yang berkonsepkan kekeluargaan serta sukan.


Pengarang :