Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis Amanat Khas Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Selangordi Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB nafi DNS bubar 19 Jun, tunggu perkenan Sultan

SHAH ALAM, 12 JUN: Dato’ Menteri Besar menafikan Dewan Negeri Selangor (DNS) akan dibubarkan pada 19 Jun bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pada tarikh berkenaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sedang membuat persiap bagi menunaikan ibadah haji.

“Sebab apa-apa hal pun, saya kena hormati Tuanku. Sebab perkenan Tuanku akan menetapkan bila tarikhnya (pembubaran).

“Jadi memang 19 (Jun ini) tidak adalah sebab Tuanku mahu bersiap ke Mekah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Amanat Khas Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan penjawat awam pada majlis amanat khas PM bersama penjawat awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata beliau merasakan tidak patut untuk tergesa-gesa dalam mengumumkan pembubaran.

“Kalau kita tergesa-gesa pun tidak patut, jadi kita kena tengok jadual. Saya tengah tunggu perkenan Tuanku. Tuanku pun ada bermacam pertimbangan dan ada pelbagai perkara nak dirujuk dengan peguam, undang-undang, tradisi negeri dan sebagainya.

“Jadi saya serahkanlah. Kalau tidak kita akan terbubar secara automatik pada 25 Jun tapi saya yakin dengan kebijaksaan Tuanku kerana ini bukan pertama kali untuk Baginda membubarkan DNS,” katanya.

DNS akan terbubar secara automatik pada 25 Jun ini selepas tempoh penggal berakhir. Selain Selangor, lima lagi negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sebelum ini, bekas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan 19 Jun sebagai tarikh pembubaran DNS ketika berucap dalam satu majlis di Tanjong Karang pada 4 Jun.

Setiausaha Pengelola Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor Saifuddin Shafi Muhammad menyifatkan tindakan Mohamed Azmin membelakangkan norma yang termaktub dalam Prosedur dan Tatacara Pengurusan Kerajaan Negeri.


Pengarang :