Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pengunjung Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 18 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Selesai kertas kerja tertunggak sebelum DUN bubar, elak jejas pendapatan negeri

SHAH ALAM, 18 JUN: Kerajaan Negeri mengambil pendekatan menyelesaikan kertas kerja tertunggak berkaitan pentadbiran dan dasar sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejak beliau mengambil alih pentadbiran, lebih 200 kes (kertas kerja) tertunggak belum dimuktamadkan.

“Tugas saya adalah mengambil pendekatan memastikan tiada tunggakan kes banyak yang memberi kesan dapatan hasil dan pergerakan syarikat atau individu dalam hal pentadbiran terutama pengurusan, pemilikan dan pembangunan ekonomi.

“Justeru, sebelum kempen pilihan raya negeri bermula, sekurang-kurangnya keputusan dasar seperti tanah atau pembangunan dipohon pemaju dapat diselesaikan dan mereka boleh membayar premium sekali gus tidak beri kesan banyak dari segi kutipan hasil negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Khas yang diadakan sejak Jumaat lalu mungkin dilanjutkan esok atau lusa bergantung kepada keadaan.

“MMKN Khas diadakan untuk memastikan tiada yang tertangguh ketika dasar kelulusan patut dibuat namun tidak dapat dilaksana berikutan Covid-19 dan perayaan.

“Kita percepatkan kelulusan dasar sebab dalam tempoh berkempen, bubar sehingga kerajaan dibentuk hampir dua bulan kosong.

“Ia beri kesan kepada pendapatan seperti pada 2018, kita catat RM1.8 bilion sedangkan sasaran RM2.3 hingga RM2.4 bilion,” katanya.


Pengarang :