Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) merasmikan Projek Mekar sempena majlis pelancaran Tekad Pendidikan Kita Selangor (PTRS) di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri, Shah Alam pada 18 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

MB: Subjek matematik tambahan diperkenal dalam modul PTRS mulai Ogos ini

SHAH ALAM, 18 JUN: Mata pelajaran matematik tambahan akan diperkenal dalam modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) khusus kepada pelajar tingkatan lima aliran sains di sekolah seluruh negeri tahun ini.

Dilaksana melalui kelas fizikal mulai Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengenalan subjek elektif menjadikan enam mata pelajaran ditawar dalam program pembelajaran percuma itu.

“Sebelum ini kita tawar mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, sains dan sejarah kerana niat asal untuk bantu pelajar menguasai (mata pelajaran teras).

“Sekarang kita tambah subjek matematik tambahan kerana dirasakan sangat mencabar jika tiada kelas tambahan dan biasanya akan beri kesan (kepada keputusan peperiksaan),” katanya di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini.

Ditemui selepas melancarkan Tekad Pendidikan Kita Selangor, beliau berkata PTRS akan memanfaatkan hampir 65,000 calon SIjil Pelajaran Malaysia (SPM) dari 272 sekolah menengah tahun ini.

Amirudin turut memberitahu setiap pelajar akan diberi makanan tengah hari untuk mengalas perut sebelum mengikuti pembelajaran.

Dalam pada itu, beliau bangga apabila ramai lepasan SPM yang menyertai program terbabit memperoleh keputusan cemerlang.

“Saya tidak nafikan ada juga pelajar cemerlang dapat 7A ke atas hasil daripada PTRS,” katanya.

Kerajaan Selangor memperuntuk RM7 juta untuk menjayakan PTRS tahun lalu bagi memantapkan pengisian portal http://ePTRS.my dan mengukuhkan kemahiran guru.

Program itu diperkenal secara dalam talian bagi membantu pelajar ketika negara dilanda pandemik Covid-19.


Pengarang :