EXCO Pelancongan Hee Loy Sian (tiga dari kiri) menyerahkan surat pelantikan pembangangunan menara tinjau ‘Ampang Look Out Point’ kepada Pengarah Urusan Pearl Holiday (M) Travel and Tour Sdn Bhd, Loo Kok Seong (tiga dari kanan) di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Menara tinjau Ampang dibangunkan semula, sasar dibuka Julai tahun depan

SHAH ALAM, 15 JUN: Menara tinjau Ampang Look Out Point’ (ALOP) yang ditutup lebih 10 tahun lalu bakal dibangun semula dengan beberapa tarikan baharu serta dijangka beroperasi pada 1 Julai tahun depan.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata menara tinjau tersebut yang sebelum ini menjadi pilihan orang ramai untuk menikmati pemandangan Kuala Lumpur akan dibangunkan sebagai lokasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa.

“Pembangunan dilaksanakan syarikat swasta Pearl Holiday Travel & Tour Sdn Bhd (Pearl Holiday) dengan nilai pelaburan berjumlah RM30 juta sepanjang 30 tahun kebenaran tapak diberikan.

“Bersesuaian konsep kelestarian alam sekitar, jadi kita hadkan hanya 20 peratus kawasan terbabit terlibat pembangunan. Kita akan cuba meminimumkan pembangunan kawasan itu.

“Pelbagai kemudahan akan disediakan termasuk penyediaan rumah bermotor (karavan) yang selesa, glamping (khemah popular), gerai makanan selain menawarkan persekitaran semula jadi yang cantik,” katanya pada sidang media.

Terdahulu beliau menyerahkan hak pembangunan ALOP sebagai pusat kecemerlangan hutan negeri kepada Pearl Holiday.

Beliau berkata menara tinjau tersebut akan menjadi salah satu daripada pelbagai lokasi tumpuan pelancongan di negeri ini.

“Pemaju akan mengutamakan aspek keselamatan di pusat pelancongan berkenaan susulan masalah tanah runtuh yang berlaku sebelum ini.

“ALOP ditutup berikutan tanah runtuh dan cerun. Jadi kita minta pemaju untuk menyelesaikan perkara ini demi keselamatan para pengunjung,” katanya.


Pengarang :