Galeri Padi Sekinchan. Foto TOURISM SELANGOR
BUDAYARENCANA

Jelajahi keunikan lokasi pelancongan agro di Sabak Bernam

Oleh TOURISM SELANGOR

Sabak Bernam ialah sebuah daerah di Selangor yang terkenal dengan persekitaran semula jadi yang indah dan kaya dengan warisan pertanian atau agro pelancongan. Ia adalah destinasi popular untuk pelancong domestik yang ingin merasai budaya dan keindahan tempatan di Selangor.

Jika anda merancang perjalanan ke sana, panduan perjalanan ini akan menawarkan anda gabungan tarikan budaya dan alam semula jadi di daerah ini, serta peluang untuk berehat di penginapan unik dan menikmati masakan tempatan.

TARIKAN DAN AKTIVITI PELANCONGAN

Sabak Bernam memiliki pelbagai lokasi menarik, daripada sawah padi yang indah kepada aktiviti outdoor dan pengalaman budaya. Ia adalah destinasi yang sempurna untuk mereka yang mencari pengembaraan di luar.

Galeri Padi Sekinchan

Kunjungi Galeri Padi Sekinchan dan pelajari tentang sejarah dan budaya pertanian padi di bandar ini. Bagi meraikan warisan pertanian yang kaya di sini, galeri ini menampilkan pameran tentang proses pertanian padi serta paparan interaktif untuk dinikmati pengunjung.

Pengunjung juga boleh mempelajari tentang pelbagai jenis beras padi dan melihat peralatan tanaman padi
tradisional.

Galeri ini juga mempunyai pemandangan sawah padi yang indah untuk mengambil gambar. Di penghujung lawatan, pengunjung boleh membeli beras dan snek tempatan di kedai mereka. Para pengunjung juga wajib mencuba cendol beras perang mereka yang menyegarkan.

Ah Ma House

Ah Ma House juga dikenali sebagai ‘rumah nenek’ ialah kedai yang terletak di pinggir Sekinchan yang menawarkan suasana yang unik dan nostalgik untuk pengunjung.

Kedai ini dihiasi sepenuhnya dengan perabot serta peralatan vintaj dan tradisional yang merupakan
artifak sebenar sejak tahun 50-an. Kedai ini menawarkan kuih kapit asli dengan kuih tradisional lain, biskut dan pencuci mulut. Ah Ma House menghasilkan produk di kedai tersebut setiap hari bagi memastikan kualitinya terjaga.

Kelip-Kelip Sungai Panjang, Sungai Besar.

Kelip-Kelip Sungai Panjang, Sungai Besar

Pusat Konservasi Kelip-kelip Sungai Panjang adalah antara lokasi yang wajib diterokai bagi mereka yang ingin menikmati keajaiban alam semula jadi. Kuantiti mereka yang banyak di kawasan itu menjadikan Sungai Panjang sebagai salah satu kawasan perlindungan utama kelip-kelip di Selangor dan pengunjung dapat menyusuri sungai dengan menggunakan bot untuk menyaksikan kerlipan cahaya.

Dibuka dari jam 8 malam hingga 10 malam setiap hari, tempat perlindungan ini merupakan pengalaman unik dan ajaib untuk pengunjung dari semua peringkat umur.

GASTRONOMI

Sabak Bernam menawarkan pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa untuk dicuba selepas seharian bersiar-siar, termasuk juadah tradisional. Untuk mengisi perut anda selepas hari yang panjang, menikmati pelbagai makanan yang terdapat di Sabak Bernam seperti Hay! Cafe, Restoran Lembah Bernam dan Dapo Puteh ialah cara yang sempurna untuk mengakhiri hari anda.

Restoran Nam Tai

Restoran Nam Tai, Sungai Besar

Terletak di Sungai Besar, Restoran Nam Tai adalah kopitiam lagenda yang telah beroperasi selama beberapa dekad. Restoran ini menyajikan sarapan pagi yang ringkas tetapi lazat sepanjang hari yang terdiri daripada kopi, roti goreng dengan kaya dan makanan kegemaran tempatan, Nasi Lemak.

Dengan estetik kopitiam Malaysia di zaman 50-an, tempat ini perlu dikunjungi.

Warung Pisang Goreng Tebuk Pulai, Sungai Besar

Singgah ke warung ini untuk menikmati kuih-muih tempatan sebelum anda meneruskan lawatan ke Sabak Bernam. Warung ini menyajikan pelbagai kuih tradisional dan snek untuk anda merasai pengalaman budaya tempatan. Antara makanan terkenal yang dijual termasuk pisang goreng, kuih kemboja, dan hidangan istimewa Jawa, punten nasi sambal bilis.

Yu Yu Ice, Pekan Sabak Bernam

Jangan lupa singgah ke Yu Yu Ice untuk menghilangkan dahaga dengan menikmati pilihan ais kisar halus dengan pelbagai perisa! Terletak di Pekan Sabak Bernam, gerai ini beroperasi lebih sedekad dan anda boleh memilih perisa seperti nenas, asam boi, jagung dan kacang merah untuk menyejukkan badan pada hari yang panas.

PENGINAPAN

Manfaatkan sepenuhnya perjalanan dua hari anda ke Sabak Bernam dengan pelbagai pilihan penginapan unik termasuklah Farm Ville Cafe & Homestay yang sesuai dengan bajet yang berbeza.

Pilihan ini terletak berhampiran dengan tarikan popular, membolehkan anda mencari tempat yang ideal untuk menginap dan berehat dengan mudah semasa perjalanan anda.

The Triangle Farm Cottage House

The Triangle Farm Cottage House ialah homestay unik yang terletak di tengah-tengah sawah padi di Sekinchan. Ia menawarkan penginapan satu malam yang berpatutan dan sesuai untuk seisi keluarga, kerana ia mempunyai kemudahan seperti kolam renang, karaoke dan bilik permainan serta anda juga boleh menyewa basikal untuk menerokai sawah padi di sekitarnya.

Villa Chee Sekinchan. Foto TOURISM SELANGOR

Villa Chee Sekinchan

Villa Chee Sekinchan ialah sebuah resort terpencil yang terletak di tengah-tengah sawah padi yang indah. Resort ini menawarkan pelbagai pilihan bilik berhawa dingin untuk menampung saiz sekumpulan pengunjung dengan bajet yang berbeza.

Para tetamu juga boleh menggunakan kemudahan resort, seperti kolam renang, jungle gym, dan restoran di lokasi ini iaitu Seafood D’Bendang yang menyajikan makanan laut segar. Dengan persekitaran yang sesuai untuk Instagram, Villa Chee Sekinchan ialah destinasi yang ideal untuk percutian anda.

ATV Sawah Padi (Nazbell Cottage)

Nazbell Cottage, Sungai Besar

Nazbell Cottage adalah homestay yang terletak di Sungai Besar. Homestay ini menawarkan pengalaman tempatan yang unik dimana anda boleh menikmati masakan tradisional, menaiki ATV dan berbasikal melalui sawah padi.

Selain itu, Sungai Panjang Agro Tourism juga menawarkan pakej bagi tetamu berpeluang untuk menyertai aktiviti pertanian, seperti memetik sayur-sayuran di ladang, dan melawat perniagaan kecil untuk melihat proses pembuatan produk.


Pengarang :