Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto arkib SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri sasar 3.5 juta pelancong, Geotaman Gombak-Hulu Langat antara lokasi tumpuan

SHAH ALAM, 8 JAN: Jumlah pelancong di Selangor dijangka meningkat kepada lebih 3.5 juta pada tahun ini berbanding 3.3 juta pada tahun lalu, kata EXCO pelancongan.

Hee Loy Sian berkata antara lokasi yang menjadi tarikan pelancong ialah di taman tema air Splash Mania di Gamuda Cove dan pelancongan pelayaran melalui Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang.

“Selain itu, turut menjadi tumpuan segmentasi ekopelancongan seperti Geotaman Gombak-Hulu Langat yang terdiri daripada 20 geotapak di Gombak dan Hulu Langat seperti Batu Arang, Batu Caves dan agropelancongan seperti Selangor Fruit Valley.

“Negeri ini mempunyai banyak lokasi menarik untuk dikunjungi untuk aktiviti bersama keluarga dan rakan serta tidak terhad di kawasan bandar sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Loy Sian, bagi menarik minat pelancong, pakej berasaskan komuniti setempat akan dipasarkan secara meluas kerana ia merupakan trend terkini pelancong.

Ketika membentang Belanjawan Selangor 2023, Dato’ Menteri Besar memaklumkan sejumlah RM6 juta disediakan untuk memperkasa industri pelancongan negeri..

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, dua kempen promosi pelancongan dilaksanakan iaitu ‘Pusing Selangor Dulu!’ bagi domestik manakala pasaran antarabangsa ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere’.

Bahkan, acara mega Konvensyen Global Tourism Selangor 2023 pula diteruskan dengan berkonsep peniaga kepada pelanggan menerusi peruntukan RM1 juta.


Pengarang :