Sebahagian penerima surat kelulusan bantuan baik pulih rumah di Bandar Fasa 1 Tahun 2023 di Bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) bergambar pada majlis pelancaran Projek Perintis Bandar Sihat Di Bawah Agenda Nasional, Malaysia Sihat (ANMS) di Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Ampang pada 11 Jun 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Ampang Jaya
PBTSELANGOR

MPAJ: Enam ketua rumah miskin tegar terima bantuan pulih rumah

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

AMPANG, 11 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyerahkan surat kelulusan bantuan baik pulih rumah di bandar Fasa 1 di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PKKB) kepada enam pemohon tahun ini.

Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad berkata sumbangan berkenaan di bawah Program Sentuhan melibatkan bantuan kewangan kepada ketua isi rumah (KIR) miskin tegar yang layak bagi membaik pulih rumah.

“Pada 2023 Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperuntukkan sejumlah RM90,000 dana bagi program pembaikan kemiskinan bandar di kawasan Ampang.

“Dana tersebut dimanfaatkan oleh enam KIR melibatkan kos RM15,000 setiap KIR untuk baik pulih rumah di dalam kawasan pentadbiran MPAJ,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Projek Perintis Bandar Sihat Di Bawah Agenda Nasional, Malaysia Sihat (ANMS) di Laman Rekreasi Tasek Tambahan, di sini.

Selain itu katanya, MPAJ turut menyampaikan sumbangan kepada dua kelab sukan bagi menghargai usaha kelab sukan yang sentiasa membantu dan menyokong inisiatif kerajaan untuk mewujudkan komuniti aktif dan sihat

“Kelab Sukan Bola Sepak Dragon FC Tasek Tambahan dan Kelab Kereta Kawalan Jauh Ampang Tasek (ATRC) akan menerima RM1,000 sebagai tanda penghargaan dan galakan dalam usaha membentuk komuniti yang membudayakan amalan gaya hidup sihat.

“MPAJ juga merupakan satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai litar kereta kawalan jauh yang terbuka kepada orang ramai di Laman Rekreasi Tasek Tambahan,” katanya.


Pengarang :