SHAH ALAM, 11 JUN: Dato’ Menteri Besar berharap program keusahawanan negeri dan persekutuan dapat digabungkan kelak bagi memperkasa perniagaan, komuniti usahawan dan koperasi di negara ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata gabungan itu dapat membentuk ekosistem pembangunan usahawan yang komprehensif dan saling melengkapi.
“Saya percaya dengan gabungan ini akan menjadi detik yang paling indah dan beberapa elemen seperti dana atau geran pinjaman, ilmu pengetahuan dan pembangunan sumber manusia dalam kalangan usahawan dapat diurus dengan lebih baik dan mudah.
“Saya berharap inisiatif ini dapat direalisasikan satu hari nanti dan ia bukan hanya memberi manfaat kepada negeri malahan syarikat, koperasi dan usahawan turut menerima faedah ini.
“Saya percaya ia juga akan menjadi benteng kepada ekonomi negara sekiranya berdepan dengan krisis ekonomi pada masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jelajah Usahawan dan Koperasi MADANI 2023 di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata Selangor merupakan antara negeri yang banyak melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu usahawan antaranya program di bawah Hijrah Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.
Jelasnya, sehingga kini Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM250 juta sejak 2015 bagi menganjurkan pelbagai program kepada usahawan.
“Manakala, jumlah pinjaman yang sudah dikeluarkan lebih RM500 juta kepada usahawan yang mana kini kita memiliki lebih 25,000 alumni usahawan Hijrah,” katanya.
Terdahulu, Amirudin turut menyerahkan geran perniagaan bernilai lebih RM64 juta kepada 16 usahawan di Selangor disaksikan Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick.