Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) selepas menyampaikan hadiah program tokoh nilam peringkat daerah Petaling Perdana pada 7 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Orang ramai dipelawa meriahkan Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 27 hingga 30 Julai

Oleh NAJAMUDDIN MOHD NOR

SHAH ALAM, 30 JUN: Orang ramai dipelawa menyertai Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2023 anjuran Kerajaan Negeri di Kompleks PKNS di sini pada 27 hingga 30 Julai.

Bertemakan ‘menghubung hati dan minda’ , Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata pesta yang julung kali dianjurkan itu melibatkan penyertaan penulis, penerbit dan penjual buku tempatan.

“Jom bersama kami dari 27 hingga 30 Julai di Kompleks PKNS Shah Alam. Tanda kalendar anda ya”, kata perbadanan itu di Facebook.

Pada 21 Jun lalu, Ketua Bahagian Korporat PPAS Zafrullah Aris berkata pihaknya menjangkakan kira-kira 100 pempamer menyertai Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor.

Jelasnya, pempamer terdiri penerbit dan penulis buku genre kanak-kanak yang menghasilkan karya untuk peringkat umur bawah 18 tahun.

Sejak 16 tahun lalu, Kerajaan Negeri mengadakan Pesta Buku Selangor dan dijenamakan sebagai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) mulai tahun lepas susulan penyertaan negara jiran.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 1 Disember lalu, karnival melibatkan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa antaranya United Kingdom, Turki, Macedonia Utara, Korea Selatan dan Mesir.

Selepas 11 hari penganjuran, SIBF merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung dengan jumlah nilai jualan keseluruhan melebihi RM5 juta.

Susulan kejayaan dan sambutan yang memberangsangkan saban tahun, pesta buku negeri itu kemudiannya dilebarkan dengan penganjuran Pesta Buku Kanak-kanak Selangor.

 

 

 


Pengarang :