EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian pada program sesi Townhall : Mencari Penyelesaian Isu Banjir Antara Agensi Pusat & Negeri Dengan Penduduk Taman Perumahan Jalan Reko di pekarangan Kuil Hindu, Taman Mahkota di Jalan Reko, Kajang pada 11 Jun 2023. Foto FHATIHAH ZAKINAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Penduduk lega Kerajaan Negeri janji tangani isu banjir Sungai Langat

Oleh FHATIHAH ZAKINAN

KAJANG, 12 JUN: Penduduk Jalan Reko, di sini gembira isu masalah banjir di sepanjang Sungai Langat mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

Mereka menyambut baik penjelasan EXCO Alam Sekitar, Hee Loy Sian berhubung projek jangka pendek dan panjang bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat malah menyifatkan ia sangat ditunggu-tunggu.

Warga emas, P Subramaniam, 75, dari Taman Mahkota, di sini, menyifatkan ia berita baik buat penduduk yang menderita masalah banjir sejak 20 tahun lalu.

Warga emas, P Subramaniam, 75, dari Taman Mahkota, Kajang. Foto FHATIHAH ZAKINAN/SELANGORKINI

“Ia (penjelasan) berita baik untuk kami kerana ada pelan jangka pendek dan panjang.

“Kami berharap mereka (Kerajaan Negeri) laksanakan janji dan selesaikan secepat mungkin,” katanya ditemui pada sesi Townhall: Mencari Penyelesaian Isu Banjir Antara Agensi Pusat & Negeri Dengan Penduduk Taman Perumahan Jalan Reko di pekarangan Kuil Hindu, Taman Mahkota di Jalan Reko, di sini semalam.

Lee Kim Peng, 65, dari Taman Sri Langat yang sudah mendiami kawasan itu sejak 1988 bersetuju jika Kerajaan Negeri melaksanakan projek mendalamkan sungai kerana ia boleh mengatasi masalah banjir.

Lee Kim Peng, 65, dari Taman Sri Langat, Kajang. Foto FHATIHAH ZAKINAN/SELANGORKINI

“Saya harap kerajaan (Negeri) boleh korek pasir. Memang eloklah (mendalamkan), pasir yang dikorek boleh dijual semula, banjir pun tak berlaku. Tak perlu buat ban konkrit lagi, ia tak bertahan lama, akan pecah,” katanya.

Orang kurang upaya (OKU) New Teng Leng, 56, berharap Kerajaan Negeri dapat selesaikan isu itu secepat mungkin kerana tidak sanggup berdepan banjir sehingga sukar untuk tidur malam.

“Saya sukar tidur malam jika hujan, dalam keadaan begini, saya hanya mampu berserah saja,” katanya dari Taman Hijau dekat sini.

New Teng Leng, 56, dari Taman Hijau, Kajang. Foto FHATIHAH ZAKINAN/SELANGORKINI

Terdahulu Loy Sian berkata projek RTB Sungai Langat bernilai lebih RM12 bilion diselesaikan secara berperingkat membabitkan tiga fasa dalam tempoh 10 tahun.

Menurutnya rancangan jangka pendek membabitkan kerja pendalaman sungai dan pembaikan ban bagi mengatasi masalah banjir di sepanjang Sungai Langat yang akan dilaksanakan akhir tahun ini.

“Projek Sungai Langat ini adalah projek untuk (kegunaan) 100 tahun akan datang. Ia bukan setakat tanggungjawab Kerajaan Negeri, tapi banyak melibatkan kerajaan persekutuan kerana memerlukan peruntukan lebih ratusan juta, itu di luar kemampuan kita,” katanya.

Antara penduduk yang hadir pada program sesi Townhall : Mencari Penyelesaian Isu Banjir Antara Agensi Pusat & Negeri Dengan Penduduk Taman Perumahan Jalan Reko di pekarangan Kuil Hindu, Taman Mahkota di Jalan Reko, Kajang pada 11 Jun 2023. Foto FHATIHAH ZAKINAN/SELANGORKINI

Pengarang :