Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berswafoto bersama penerima anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di temani Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim pada 13 jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Prinsip ‘ikigai’ keseimbangan, kepuasan, kegembiraan resipi jadi pekerja cemerlang

Oleh Shamz Johan

SHAH ALAM, 13 JUN: Memegang prinsip ‘ikigai’ dalam kehidupan antara rahsia yang dikongsi penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tahun 2022 semalam.

Nurul Asyikin Md Nasir yang bertugas sebagai eksekutif jualan berkata budaya dari Jepun itu menekankan tujuan dalam hidup yang mencari keseimbangan, kepuasan dan kegembiraan dalam melakukan sesuatu perkara.

Eksekutif Jualan PKNS Nurul Asyikin Md Nasir bergambar bersama sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Pusat Kovensyen Shah Alam (SACC) pada 13 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Jika kita buat apa yang kita suka, kita akan dapat menguasai perkara tersebut, sama seperti bekerja. Saya gembira dapat membantu ramai orang memiliki rumah sendiri.

“PKNS telah membantu banyak keluarga memiliki kediaman. Justeru ia memberikan kepuasan dalam diri dan pekerjaan saya,” katanya yang kali pertama menerima anugerah tersebut.

Beliau antara 146 kakitangan PKNS dirai pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Malam Jasamu Dikenang PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). Majlis tersebut disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Ketua Pegawai Korporat PKNS Idris Ishak bergambar bersama sijil Anugerah Perkhidmatan Lama di Pusat Kovensyen Shah Alam (SACC) pada 13 jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Bagi Ketua Pegawai Korporat Idris Ishak berkata sebagai pekerja, perkara yang paling mustahak adalah melaksanakan amanah yang diberi.

“Kita (kakitangan) perlu adaptasi era baharu yang memerlukan transformasi cara bekerja serta pemikiran yang sering mencari peluang baharu demi melaksanakan tugas membantu rakyat Selangor khususnya memiliki kediaman sendiri,” katanya yang menerima Anugerah Perkhidmatan Lama bagi kategori 30 tahun.

Pembantu Tadbir Jamaliah Tahir bergambar bersama sijil Anugerah Perkhidmatan Pesara di Pusat Kovensyen Shah Alam (SACC) pada 13 jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Pembantu Tadbir Jamaliah Tahir yang menerima sijil penghargaan persaraan pula berasa terharu dan sedih untuk meninggalkan PKNS.

“Sedih dan terharu terpaksa ‘berpisah’ setelah lebih 38 tahun bersama PKNS, banyak pahit manis bersama,” katanya yang mula bekerja pada tahun 1985 sebagai Operator Telefon.


Pengarang :