Penyandang DUN Kajang Hee Loy Sian, bersama Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan meninjau Sungai Langat pada program sesi Townhall : Mencari Penyelesaian Isu Banjir Antara Agensi Pusat & Negeri Dengan Penduduk Taman Perumahan Jalan Reko di Jalan Reko pada 11 Jun 2023. Foto FHATIHAH ZAKINAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Projek tebatan atasi banjir Sungai Langat babit 3 fasa, siap dalam 10 tahun

Oleh FHATIHAH ZAKINAN

KAJANG, 11 JUN: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat diselesaikan secara berperingkat membabitkan tiga fasa dalam tempoh 10 tahun, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata rancangan jangka pendek membabitkan kerja pendalaman sungai dan pembaikan ban bagi mengatasi masalah banjir di sepanjang Sungai Langat akan dilaksanakan akhir tahun ini.

“Projek Sungai Langat ini adalah projek untuk (kegunaan) 100 tahun akan datang. Ia bukan setakat tanggungjawab Kerajaan Negeri, tapi banyak melibatkan kerajaan persekutuan kerana memerlukan peruntukan lebih ratusan juta, itu di luar kemampuan kita.

“Jadi, saya berharap, penduduk sabar sedikit masa lagi, kerana kita nak pastikan sini bebas banjir,” katanya.

Loy Sian berkata demikian pada sesi Townhall: Mencari Penyelesaian Isu Banjir Antara Agensi Pusat & Negeri Dengan Penduduk Taman Perumahan Jalan Reko di pekarangan Kuil Hindu, Taman Mahkota di Jalan Reko, di sini hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM16.1 juta dalam bajet 2023 kepada JPS negeri bagi pelaksanaan projek tebatan banjir, khususnya lembangan sungai utama termasuk Sungai Klang, Sungai Langat dan Sungai Selangor.

Usaha menyegerakan beberapa projek tebatan banjir itu sebagai persediaan menghadapi situasi hujan luar jangka.


Pengarang :