EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (berdiri, tengah) bergambar bersama selepas menyampaikan Insentif Pertanian Negeri Selangor pelbagai kategori kepada pada 15 Jun 2023 di Laman Kohijrah, Syeksen 15 Shah Alam. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sempena Aidiladha, negeri anjur jualan murah di 18 lokasi sehari

SHAH ALAM, 15 JUN: Kerajaan Negeri akan menambah lokasi jualan murah barangan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sempena sambutan Aidiladha.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang bertujuan meringankan beban rakyat  itu ditambah kepada 18 lokasi sehari berbanding 9 lokasi ketika ini.

“Kita tidak buat jualan mega tetapi kita akan perbanyakkan lokasi jualan sehingga dua kali ganda, beberapa hari sebelum sambutan Aidiladha.

“Antara barangan jualan yang kita fokuskan menjelang Aidiladha adalah ayam. Kita perlu tambah bekalan ayam kerana ayam antara hidangan penting ketika musim perayaan,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis penyerahan insentif sektor pertanian di Laman Niaga Kohijrah di Seksyen 15 di sini, hari ini.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai

PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri, baru-baru ini.

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal Disember tahun lepas dengan nilai jualan melebihi RM16 juta.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai juga boleh melayari pautan http://linktr.ee/myPKPS dan Facebook PKPS untuk lokasi jualan.


Pengarang :