Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) Gan Pei Nei (kanan) menyampaikan sijil kepada pelajar pada Majlis Graduasi Pusat Anis Ke-2 di Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS), Shah Alam pada 23 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

28 pelajar pusat prasekolah anak istimewa negeri tamat pengajian

SHAH ALAM, 23 JULAI: Seramai 28 pelajar Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (ANIS) berjaya menamatkan pengajian dan menerima sijil pada majlis Graduasi hari ini.

Diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS), 22 pelajar intervensi awal dan enam prasekolah menerima sijil daripada Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) Gan Pei Nei.

Menurut Pei Nei, penganjuran majlis graduasi itu bagi mengiktiraf dan meraikan kejayaan anak-anak istimewa yang tamat pengajian di pusat berkenaan selama setahun.

“Antara syarat di pusat ANIS ini ialah ibu bapa wajib bersama anak-anak sepanjang program intervensi berlangsung. Ini kerana kita mahu ibu bapa mempraktikkan apa dipelajari itu di rumah.

“Oleh itu, dengan adanya majlis ini selain meraikan anak-anak yang semakin berdikari kita juga mahu memberi penghargaan kepada ibu bapa yang komited dengan melibatkan diri dalam membimbing anak-anak,” katanya.

Noraziah Baharom bersama suami dan anaknya pada Majlis Graduasi Pusat Anis Ke-2 di Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS), Shah Alam pada 23 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Seorang ibu, Noraziah Baharom, 43, berkata anaknya Muhammad Md Khairulnizad berusia enam tahun amat teruja untuk menghadiri majlis tersebut dan bertemu rakan-rakan serta guru.

“Anak saya masuk ke pusat ANIS ketika usia lima tahun untuk intervensi namun untuk prasekolah hanya sempat enam bulan sahaja kerana suami berpindah kerja ke Putrajaya.

“Namun, apabila pusat ANIS menghubungi untuk maklumkan hadir ke majlis graduasi dia (Muhammad) sangat teruja untuk jumpa cikgu lamanya kerana banyak yang dipelajari di sini,” katanya.

Aliaa Ahmad Junidi

Bagi Aliaa Ahmad Junidi, 33, pula pusat ANIS banyak membantunya untuk membimbing anak kembarnya Wan Ahmad Fariz Wan Mohd Shiham dan Wan Ahmad Firaz Wan Mohd Shiham supaya mampu berdikari.

“Sebelum menghantarnya ke pusat ANIS, agak sukar untuk saya menguruskan anak-anak seperti memotong kuku dan rambut kerana mereka agak aktif.

“Namun, berada di pusat ANIS memberi satu pendedahan baharu kepada mereka kerana ada teknik tersendiri. Kini, mereka semakin pandai mengurus diri, malah banyak melakukannya sendiri seperti menggosok gigi,” katanya.


Pengarang :