Jentera Pilihan Raya mendengar ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pelancaran jentera Pilihan Raya Perpaduan DUN Hulu Kelang di Melawati Square pada 19 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ahli politik harus hormati titah sultan, elak manipulasi isu kaum, agama

GOMBAK, 20 JULAI: Titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor kepada calon politik agar tidak jadikan kaum dan agama sebagai modal politik ketika berkempen perlu dihormati dan dipatuhi.

Pengundi, Roslan Abu Mansor, 57, berkata titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar semua calon berkempen secara sihat menawarkan polisi terbaik buat pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Roslan Abu Mansor

“Titah sultan ada betulnya, sebab ada pihak ambil kesempatan mainkan isu kaum dan agama untuk memenuhi kepentingan diri mereka sedangkan kepelbagaiaan kaum merupakan satu kekuatan.

“Sepatutnya tumpu kepada pembangunan ekonomi dan tingkatkan taraf kualiti rakyat bukannya menimbulkan bibit perpecahan,” katanya pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang di sini malam tadi.

Sementara itu, Muhammad Johari, 51, berpandangan semua pihak terutama calon politik perlu membuang agenda retorik perpecahan yang akan memberi kesan kepada keharmonian masyarakat.

Muhammad Johari

“Tidak patut jadikan kaum dan agama sebagai modal politik, kalau nak berpolitik kenapa nak kena sentuh hal sebegini seperti hak keistimewaan orang Melayu misalnya.

“Ia akan mencetuskan kebimbangan masyarakat sehingga menjadi ekstremis seperti isu membabitkan seorang ahli politik yang dilihat mempertikaikan Sultan Selangor dalam ceramah politik beliau perlu dijadikan iktibar,” katanya.

Bagi pesara, S Ratna, 77, calon politik perlu belajar daripada sejarah dan menyampaikan mesej kepada masyarakat khususnya golongan muda mengenai erti perpaduan bukan dijadikan retorik kempen.

S Ratna

“Saya setuju dengan titah sultan kerana kita perlu belajar dari sejarah kesan mainkan isu kaum dan agama mendatangkan kesan kepada keharmonian masyarakat. Kita kena beri contoh baik kepada generasi muda.

“Saya sudah hidup di Hulu Kelang sejak 1970-an sehingga sekarang sudah bersara, keharmonian perpaduan masyarakat sangat baik dan saya mahu lihat ia berterusan,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin mengingatkan calon pilihan raya agar tidak memainkan isu berkaitan agama, kaum dan isu sensitif lain yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat sepanjang kempen PRN.

Baginda berpesan supaya setiap kempen dijalankan dengan cara berhemah dan bertanggungjawab dengan mematuhi undang-undang pilihan raya sedia ada serta undang-undang lain yang berkaitan.

Hari penamaan calon PRN Selangor dan lima negeri lain ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.


Pengarang :