(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Raja Ahmad Shahrir Iskandar, Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim, Ketua Pegawai Eksekutif Penjana Kapital Taufiq Iskandar Jamingan, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping ketika menandatangi memorandum persefahaman (MoU) Dana Penjana Selangor pada 17 Julai 2023. Foto PNSB
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dana Penjana Selangor diwujud kembang ekosistem syarikat pemula

SHAH ALAM, 20 JULAI: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) mewujudkan inisiatif Dana Penjana Selangor bagi mengembang ekosistem syarikat pemula negeri ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata inisiatif dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) serta Penjana Kapital Sdn Bhd bertujuan mencipta dana dan mengurangkan risiko pelaburan syarikat berkaitan.

Menurut Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, syarikat pemula yang berpotensi tinggi akan didedahkan aspek pelaburan oleh badan korporat dan pelabur melalui dana yang diselia pengurus dana modal teroka berpengalaman.

“Inisiatif ini menawarkan pendekatan berstruktur dan terurus untuk pelaburan dalam syarikat pemula selain mengurangkan risiko dan meningkatkan kebarangkalian berjaya.

“Inisiatif ini diharap dapat menarik penyertaan korporat dalam ekosistem modal teroka sekali gus menyumbang pertumbuhan dan kejayaan syarikat pemula serta korporat terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Memorandum persefahaman (MoU) kerjasama ditandatangani Ahmad Sharir Iskandar manakala Sidec diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping dan Penjana Kapital diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Taufiq Iskandar Jamingan pada 17 Julai lalu.

Ahmad Shahrir Iskandar berkata pelancaran inisiatif itu menandakan usaha bersama untuk membuka potensi ekosistem syarikat pemula dan mewujudkan ekonomi bertenaga.

“Ini merupakan komitmen Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan untuk memupuk satu ekosistem syarikat pemula yang berkembang maju,” katanya.

Di peringkat pusat, dana modal teroka terbukti berkesan dengan model baharu itu mengumpulkan modal daripada pelbagai sumber untuk mencipta dana khusus, sebelum dilabur dalam beberapa dana modal teroka terpilih.

Malah perkongsian dan inisiatif seperti program ‘Fund-of Funds’ terbukti mengurangkan risiko pelaburan dalam syarikat pemula dan menggalakkan aliran modal persendirian.


Pengarang :