Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis pengumuman calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di padang awam MBSA, Seksyen 7, Shah Alam pada 22 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon KEADILAN diingat galas amanah rakyat, mulakan gerak kerja

SHAH ALAM, 23 JULAI: Calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor yang dipilih bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) diingatkan menggalas amanah dan tanggungjawab sebaik mungkin.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari juga menyeru calon supaya segera memulakan gerak kerja bagi memenangi kerusi yang ditandingi mereka.

“Mari kita berpegang kepada amanah yang diberi sebaik mungkin. Jangan tunggu penamaan calon, mulai malam ini atau kalau tidak boleh malam ini, (mula) subuh nanti (gerak kerja).

“Baiki hubungan sedia ada (dengan rakyat). Pastikan gembleng segala keupayaan kita ada,” katanya dalam majlis malam pengumuman calon KEADILAN di Seksyen 7 di sini malam tadi.

Penyokong Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menghadiri pada majlis pengumuman calon KEADILAN di padang awam MBSA, Seksyen 7, Shah Alam pada 22 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengumuman tersebut dibuat Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi HARAPAN di depan ribuan pemimpin dan penyokong parti serta orang ramai.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar juga berharap individu yang tidak tercalon supaya berlapang dada dan meneruskan perjuangan parti demi kepentingan rakyat dan negara.

“Kita ada ramai calon tetapi hanya ada satu kerusi (untuk ditandingi), justeru saya harap buka hati, dada dan jiwa. Perjuangan harus diteruskan, seumpama air mengalir deras ke depan.

“Kalau tidak hari ini (tercalon), mungkin esok. Kalau tidak esok, minggu depan. Kalau tidak bulan depan, mungkin tahun depan. Yang penting kita harus berjuang sampai menang,” katanya.

Hari penamaan calon PRN Selangor dan lima negeri lain, ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.

PRN berlangsung melibatkan 56 DUN di Selangor, Pulau Pinang (40), Negeri Sembilan (36), Kedah (36), Kelantan (45) dan Terengganu (32).


Pengarang :