Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

DUN Subang Jaya, Banting, Sekinchan antara lokasi jualan murah pagi ini

SHAH ALAM, 5 JULAI: Program jualan murah barangan asas seperi ayam, ikan, telur dan beras diteruskan ke sembilan lokasi hari ini, bermula 10 pagi.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang bertujuan meringankan beban rakyat itu diadakan di Dewan Orang Ramai Sg Serdang (DUN Sementa), Kampung Bahagia (DUN Sungai Ramal), tapak pasar malam Klang Jaya (DUN Sentosa) dan Masjid As-Salam (DUN Taman Medan).

Lokasi lain ialah Angsana USJ (DUN Subang Jaya), Masjid Kampung Pasir Baru (DUN Semenyih), Taman Sekinchan Jaya (DUN Sekinchan), Balai Raya MPKK Taman yayasan (DUN Banting) dan pasar juadah, Apartment Taman Sri Bayu (DUN Lembah Jaya).

Jualan murah itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program tersebut adalah kesinambungan Jelajah Ehsan Rakyat yang dijenamakan semula pada 1 Jun 2023 dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan RM37 juta sejak pelaksanaannya.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :