EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman semasa ditemu bual media pada program Korban Perdana Aidiladha DUN Paya Jaras di Dewan MDKS Saujana Utama, Sungai Buloh pada 2 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO tumpu selesai program untuk rakyat meski DUN bubar

SHAH ALAM, 2 JULAI: Beberapa program kebajikan sedang dirancang untuk rakyat meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sudah terbubar.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata program yang telah diluluskan sebelum ini akan dilaksana sebelum tarikh penamaan calon.

“Masih ada beberapa program besar yang kita sedang usahakan. Antaranya Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE), marhaban wanita dan program untuk belia.

“Semuanya akan berjalan seperti biasa sehingga penamaan calon. Saya juga sudah arahkan agensi terlibat untuk selesaikannya sebelum hari tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau program Korban Perdana Aidiladha Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Saujana Utama di sini hari ini.

Penyandang kerusi DUN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman melapah daging semperna program Korban Perdana Aidiladha DUN Paya Jaras di Dewan MDKS Saujana Utama, Sungai Buloh pada 2 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Menurut Khairuddin, hampir 2,000 pekerja p-panggilan bakal menerima bantuan RM550 menerusi RiDE fasa dua yang akan diagih dalam tempoh terdekat.

Jelasnya, pemberian itu susulan pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung peruntukan tambahan RM1 juta bagi membantu lebih ramai pekerja ekonomi sampingan.

Bulan lalu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM2 juta bagi membantu 3,000 pekerja p-panggilan dengan setiap daripada mereka menerima wang tunai RM500 serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai RM50.

RiDE diwujudkan pada 2020 selepas Kerajaan Negeri melihat keperluan melindungi pekerja sektor ekonomi sampingan ketika penularan wabak Covid-19.


Pengarang :