Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof membantu petugas jualan sambil menyantuni pengunjung pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Shah Alam di Dewan Cengal MBSA, Seksyen 24, Shah Alam pada 9 Julai 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Hebah lokasi jualan murah di media sosial, pastikan warga Shah alam tidak terlepas

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 9 JULAI: Sering menghebahkan lokasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) dalam Parlimen Shah Alam mendorong kunjungan penduduk selain memastikan mereka tidak terlepas peluang mendapatkan barangan dapur pada harga murah.

Ahli Parlimen Shah Alam berkata pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ahli majlis juga sentiasa memastikan lokasi jualan murah strategik, berdekatan dengan kawasan perumahan dan kemudahan parkir serta ruang yang selesa bagi memudahkan pengunjung.

“Kita menjalankannya melalui pelbagai medium termasuklah semua pusat khidmat DUN dalam Parlimen Shah Alam dan aplikasi WhatsApp penduduk. Media Selangor juga tidak putus memberi sokongan padu menyampaikan maklumat mengenai program selain inisiatif di Facebook PKPS

“Alhamdulillah, kunjungan semakin ramai malah tidak kurang juga yang hadir berulang kali berbelanja di JER, namun ada juga sesetengah penduduk tidak datang kerana memberi ruang kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” kata Azli Yusof yang memuji sikap baik penduduk yang lebih berkemampuan.

Terdahulu beliau meninjau program jualan murah kendalian Perbandanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang dihadiri lebih 400 penduduk di Dewan Cengal MBSA, Seksyen 24, di sini, hari ini.

Orang ramai tidak melepaskan peluang berbelanja di program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Shah Alam di Dewan Cengal MBSA, Seksyen 24, Shah Alam pada 9 Julai 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Mulai 15 Julai, perbadanan berkenaan bakal menjual minyak masak paket satu kg pada harga serendah RM2 sebungkus bagi memenuhi permintaan pengunjung.

Pengurus Kanan Pemasarannya Mohd Fazir Abdul Latif berkata buat permulaan minyak paket itu dijual secara berperingkat di tiga lokasi JER terpilih dengan kuantiti 170 bungkus untuk setiap lokasi.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :