Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Parlimen Ampang di Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah pada 6 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

JER: Barangan habis tempoh singkat, catat nilai jualan lebih RM18,000

Oleh Shamz Johan

AMPANG JAYA, 6 JULAI: Inisiatif jualan murah negeri terus menerima sambutan apabila 500 ekor ayam terjual tidak sampai dua jam dalam program yang berlangsung di Kampung Ampang Indah, Lembah Jaya, hari ini.

Penolong pengurus logistik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata Jualan Ehsan Rahmah (JER) bermula 10 pagi itu turut dikunjungi pembeli dari luar Ampang yang menyebabkan barangan lain seperti telur, ikan, minyak masak dan beras juga habis dalam tempoh singkat.

Penolong pengurus logistik PKPS Mohd Hasry Abu Hassan. Foto MOHD AR/SELANGORKINI

“Lebih 600 pengunjung hadir ke jualan murah pagi ini. Kita lihat sambutan sangat tinggi di kawasan kampung, kebanyakan barangan habis dijual menjelang jam 12 tengah hari.

“Program JER mendapat tumpuan ramai kerana penglibatan dan kerjasama dari semua peringkat seperti ketua kampung, ahli majlis dan pejabat dewan undangan negeri (DUN,” kata Mohd Hasry Abu Hassan.

Beliau ditemui di program JER peringkat Parlimen Ampang yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Kampung Ampang Indah, Lembah Jaya.

Beliau berkata lebih RM18,000 hasil jualan diraih hari ini dalam program yang sebelum ini dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Pada 1 Jun, Kerajaan Negeri bersetuju meneruskan program tersebut dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan RM37 juta sejak pelaksanaannya.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Parlimen Ampang di Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah pada 6 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Pengarang :