Oleh Fitri Hazim Hazam
SHAH ALAM, 8 JULAI: Harga murah dan barangan berkualiti menjadikan Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) tumpuan orang ramai untuk mendapatkan keperluan asas.
Suri rumah, Hazanariah Hassan, 39, berkata dia sudah mengunjungi program JER lima kali kerana harga ditawarkan dapat menjimatkan perbelanjaan dapur secara mingguan berbanding di tempat lain.
“Saya sudah mengunjungi JER di Petaling Jaya, Klang dan hari ini di Kampung Baru Hicom kerana harganya murah berbanding lokasi lain.
“Di sini ayam RM10 seekor, tetapi di luar berbeza dah jimat belanja dapur. Saya minta ia diteruskan, penduduk akan cari kerana kos sara hidup ketika ini tinggi,” katanya kepada SelangorKini.
Hazanariah ditemui pada program JER peringkat Parlimen Kota Raja di Tapak Pasar Malam Kampung Baru Hicom, di sini hari ini.
Peniaga Radzi Che Ismail, 42, berkata beliau sentiasa menyemak jadual dan lokasi jualan murah di laman media sosial kerana tidak mahu terlepas peluang mendapatkan bekalan asas pada harga murah.
“Anak-anak saya suka makan ayam jadi keutamaan saya beli barang keperluan adalah mendapatkan ayam. Bila JER tawarkan RM10 seekor ayam, saya sangat gembira.
“Ayam di sini segar, saya berpuas hati dan akan terus sokong program ini untuk diadakan,” katanya.
Pekerja swasta, Salemah Sali, 54, berkata jualan murah banyak menjimatkan perbelanjaan dapurnya kira-kira RM50 mingguan.
“Walaupun murah ia berkualiti dan memenuhi keperluan saya untuk mendapatkan barangan seperti ayam, telur, minyak masak dan beras. JER menjadi pilihan utama saya kerana beli di pasar lagi mahal,” katanya.