Lokasi kejadian tragedi kepala air yang mengorbankan 10 mangsa di Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu ketika tinjauan pada 6 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

39 kawasan di seluruh negara berisiko kepala air

MARANG, 8 JULAI: Sebanyak 39 lokasi rekreasi air terjun dan sungai di seluruh negara dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berlakunya fenomena kepala air susulan kejadian terbaru mengorbankan 10 orang di Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu, minggu lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasarullah Mohd Nasir, berkata selain kawasan air terjun, sungai dan pantai juga menjadi lokasi pemantauan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau berkata antara langkah yang diambil bagi mengurangkan risiko kematian akibat lemas di kawasan terbabit ialah melalui pelbagai program kesedaran keselamatan dan kewujudan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Safety Water and Rescue Team (SWART).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2023 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Seramai 142 anggota baharu menerima sijil masing-masing selepas menamatkan latihan selama lima bulan bermula 1 Februari lalu.

– BERNAMA


Pengarang :