Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Madani HARAPAN di Taman Medan, Petaling Jaya pada 5 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jumlah pelajar sertai tuisyen percuma naik 10 kali ganda bawah HARAPAN

PETALING JAYA, 6 JULAI: Bilangan pelajar yang mendapat manfaat program tuisyen percuma di negeri ini meningkat 10 kali ganda sejak pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) menyelaras inisiatif itu.

Menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, seramai 65,000 pelajar mengikuti Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) setakat ini, berbanding ketika wakil rakyat PAS memegang portfolio pendidikan.

“Dulu bawah EXCO (PAS) cuma 6,500 pelajar dapat tuisyen percuma. Sekarang bila kita (HARAPAN) kawal, kita buat tuisyen percuma untuk 65,000 pelajar, 10 kali ganda daripada yang mereka buat.

“Kita belanja RM6 juta, sama dengan belanja pada 2010, 2011, 2013. Betul tak betul, tanya Jabatan Pendidikan. Nak tahu bagaimana kita buat? Bagi sekali lagi HARAPAN (tadbir Selangor), kita terangkan A sampai Z,” katanya disambut tepukan gemuruh pada Jelajah Madani di sini, malam tadi.

Untuk rekod, pada 2008 sehingga 2014, portfolio pendidikan, pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan negeri ini disandang pemimpin PAS.

Mula diperkenal pada Mac 2009, pelaksanaan PTRS menggunakan pusat komuniti sebagai premis tuisyen sebelum diperluas ke sekolah dan secara dalam talian susulan pandemik Covid-19.

PTRS memberi bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan kepada pelajar yang memperoleh keputusan sederhana atau lemah mata pelajaran dan daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000.

Tahun lalu, sebanyak RM7 juta diperuntuk untuk menjayakan program berkenaan dengan memantapkan pengisian portal http://ePTRS.my serta mengukuhkan kemahiran guru.


Pengarang :