Calon Barisan Nasional DUN Dengkil Noorazli Said (kanan) menyantuni penduduk setempat di pekan Dengkil pada program jelajah mesra sempena pilihan raya negeri (PRN) pada 30 Julai 2023. Foto Facebook Noorazli Said
ADNSELANGOR

Lokasi strategik, calon hasrat jadikan Dengkil hab pelancongan

OLEH AMIRUL FAZLI

SHAH ALAM, 30 JULAI: Menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil sebagai hab pelancongan antara agenda utama calon Barisan Nasional (BN) jika memenangi kawasan tersebut.

Noorazli Said berkata cadangan itu berikutan lokasinya berhampiran lapangan terbang utama dan pusat pentadbiran negara yang akan mencipta lebih banyak peluang kerja.

“Dengkil mempunyai potensi dan rugi jika tidak menggunakan peluang ini sebaik mungkin demi kesejahteraan penduduk setempat,” katanya kepada Selangorkini.

Calon berusia 45 tahun itu juga berhasrat membawa pendekatan politik matang dengan mengutamakan kebajikan rakyat dan menolak kontroversi yang tidak membawa kebaikan.

Pada masa sama, ketua Umno Bahagian Sepang yang juga ahli perniagaan memilih untuk menyertai politik kerana ingin membantu penduduk susah di kawasannya.

“Saya dari keluarga susah dan cukup memahami nadi rakyat. Disebabkan itu, perkara paling utama ialah membantu rakyat Dengkil dalam pelbagai perkara termasuk peluang pekerjaan,” katanya.

 


Pengarang :