Jemaah menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Khairiyah Gombak pada 2 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Masjid, surau bukan tempat propaganda politik, pentadbir diingat patuh titah sultan

SHAH ALAM, 13 JULAI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melarang masjid dan surau seluruh negeri dijadikan medan berpolitik serta pusat propaganda kepartian menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pentadbir rumah ibadat itu diingatkan untuk mempertingkatkan kawalan dan menguatkuasakan semua larangan ditetapkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad bercakap kepada media selepas Majlis Mesra Media Jais di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 21 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Melalui pemantauan dan pemerhatian Jais, pentadbir masjid dan surau didapati masih mengambil ringan, membiarkan atau membenarkan bahan penerbitan berunsur politik disebarkan termasuk membiarkan tokoh-tokoh politik menggunakan masjid dan surau untuk tujuan politik.

“Perbuatan ini jelas melanggar ketetapan dibuat Mais bagi mengekalkan masjid dan surau sebagai zon aman selain bebas sebarang elemen dan pengaruh politik kepartian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau juga menyelar perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang mengambil kesempatan menjelang PRN dengan mengedar terbitan atau bahan bercetak berunsur politik sekali gus melanggar titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor serta ketetapan Mais.

“DYMM Sultan Selangor sejak tahun 2018 lagi telah bertitah agar masjid dan surau menjadi tempat beribadat yang aman dan sejahtera serta tidak dipolitikkan.

“Baginda juga sentiasa mengingatkan kepada semua pihak termasuklah kepada pentadbir masjid dan surau ketika Istiadat Penyampaian Watikah Nazir dan Imam Masjid Seluruh Negeri Selangor pada 2 Mac 2023 di Istana Alam Shah, Klang.

“Ingatan sama diberikan baginda pada 13 Mac 2023 kepada ahli politik ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor,” katanya yang mengingatkan pelantikan pegawai masjid boleh dibatalkan jika melanggarkan peraturan tersebut.

 


Pengarang :