Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menghadiri Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Ke-14 di Shah Alam pada 13 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan bimbang masjid jadi medan politik pecah belahkan umat Islam

SHAH ALAM, 13 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bimbang budaya menjadikan masjid dan surau sebagai medan propaganda politik kepartian akan memecahbelahkan umat Islam khususnya orang Melayu.

“Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah dalam kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannya,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda sekali lagi mengingatkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) agar memastikan institusi agama berkenaan bebas unsur-unsur politik.

Baginda turut mengingatkan semua wakil rakyat agar tidak menjadikan rumah ibadah berkenaan sebagai medan dan propaganda politik kepartian.

“Terdapat penceramah tertentu ketika memberi ceramah di masjid dan surau mengambil kesempatan menyindir, menghina, mencaci malah memfitnah pihak dan golongan tertentu atas sebab perbezaan fahaman politik.

“Beta amat bimbang budaya sebegini jika tidak dibendung akan terus memecahbelahkan umat Islam khususnya orang Melayu,” titah baginda.

Sehubungan itu, Baginda hanya perkenan individu berkelayakan dan mempunyai tauliah dari Mais sahaja dibenar memberi ceramah, kuliah, tazkirah atau pengajian di masjid dan surau.

“Sekali lagi Beta menegaskan bahawa hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan luas mengenai agama Islam sahaja yang layak untuk diberikan tauliah mengajar bagi mengelakkan anasir ajaran sesat serta budaya fitnah-memfitnah berlaku,” titah Baginda.


Pengarang :