Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau lokasi paip pecah di Jalan Utama Lebuh Sri Gombak berhampiran Prima Sri Gombak pada 19 Julai 2023. Foto Facebook Rahim Kasdi
ADNSELANGOR

MB arah Air Selangor segera atasi masalah paip pecah

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) diarah segera menyelesaikan masalah paip pecah di Jalan Utama Lebuh Sri Gombak berhampiran Prima Sri Gombak.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia berkata Dato’ Menteri Besar mahu Air Selangor memberi penerangan dan perancangan serta komitmen untuk menyelesaikan isu tersebut.

Rahim Kasdi menambah Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut meninjau lokasi kejadian semalam kesal berikutan insiden dua kali dalam seminggu membawa kesulitan kepada penduduk setempat.

“Beliau (Amirudin) akan memastikan permasalahan ini diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Pada awal tahun, Amirudin berkata saluran sepanjang 838 meter di jajaran Prima Sri Gombak akan diganti kepada jenis baharu, bermutu dan berdaya tahan. Kerja itu dijadual siap Oktober ini.

Menurut Air Selangor, paip sepanjang 150 kilometer diganti setiap tahun bagi memenuhi permintaan bekalan air untuk 8.4 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sebanyak 1,562 kerja penyelenggaraan berjadual dilakukan setakat Januari 2021.


Pengarang :