Oleh Shamz Johan
SHAH ALAM, 13 JULAI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menumpukan usaha menaik taraf prasarana di kawasan pentadbirannya sebagai persiapan mencapai status bandar raya pada November ini.
Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata status penarafan kini dalam fasa terakhir sebelum dibentang kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mendapat kelulusan.
“Berbaki 132 hari lagi menuju status bandaraya yang dijangka pada 23 November depan merupakan cabaran besar buat kakitangan untuk memikul tanggungjawab tersebut.
“MPK juga giat meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat terutama kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam selain kerja pengindahan landskap juga giat dijalankan,” katanya sempena Perhimpunan Bulanan MPK di Dewan Hamzah.
Beliau berkata meskipun Klang bakal berstatus bandar raya, pihaknya akan terus memperkasakan lokasi tersebut sebagai bandar diraja.
“MPK perlu memperkasakan Klang sebagai bandar raya warisan diraja dan pelabuhan berdaya saing di peringkat global.
“Kita menekankan pembangunan mampan, berimejkan bandar warisan dan sejarah yang menjadi simbol kebanggaan penduduk,” katanya.