Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai program pelaburan tidak wujud, selain hanya melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (gambar hiasan)
AGENDAJENAYAH

Peniaga rugi RM870,000 terpedaya pelaburan kripto tidak wujud

IPOH, 17 JULAI: Seorang peniaga kerugian RM870,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto tidak wujud, yang menjanjikan pulangan lumayan bernilai jutaan ringgit.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian menerima laporan daripada lelaki berusia 54 tahun itu, pada pukul 11.15 malam semalam.

Mohd Yusri berkata mangsa dihubungi seorang wanita menerusi aplikasi WhatsApp pada 24 Jun lalu, yang meyakinkan mangsa bahawa dirinya telah mendapat keuntungan besar dalam pelaburan mata wang kripto.

Beliau berkata akibat terpedaya dengan kata-kata suspek, mangsa telah mula membuat pelaburan dengan memasukkan duit ke dalam aplikasi mata wang kripto, yang diberikan wanita tersebut.

“Pada mulanya mangsa hanya melabur sebanyak RM5,000 dan mangsa berjaya mendapat semula modal bersama keuntungan. Kemudiannya, suspek meminta mangsa membuat pelaburan lebih besar untuk mendapatkan keuntungan yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata mangsa yang terpedaya, telah melakukan beberapa transaksi secara dalam talian serta melalui pemindahan di kaunter bank, melibatkan jumlah keseluruhan RM870,000 dengan mangsa dijanjikan akan memperoleh keuntungan RM1.5 juta.

Beliau berkata mangsa kemudiannya telah meminta suspek untuk membuat pengeluaran, tetapi pelbagai alasan diberikan suspek dan mangsa juga diminta membuat bayaran proses berjumlah 30 peratus daripada jumlah pengeluaran.

“Sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang keuntungan daripada pelaburan tersebut dan berasa tertipu, telah membuat laporan polis,” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Mohd Yusri menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai program pelaburan tidak wujud, selain hanya melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Orang ramai juga perlu mendapatkan nasihat kewangan daripada ejen yang berdaftar dan tidak sesekali percaya dengan pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam masa yang singkat.

– BERNAMA


Pengarang :