SHAH ALAM, 7 JULAI: Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2023 di Kompleks PKNS di sini dari 27 hingga 30 Julai ini akan menampilkan beberapa penerbit buku kanak-kanak terkenal.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhammad berkata penampilan penerbit buku kanak-kanak itu seperti Ana Muslim memainkan peranan penting dalam menarik minat golongan itu hadir ke pesta buku yang julung kali diadakan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/12/pesta-buku-1-500x315.jpg)
“Kita mahu penerbit ini selaku pempamer sama-sama memainkan peranan mendidik kanak-kanak supaya wujud minat membaca dan menjadi penulis pada masa akan datang.
“Bukan itu sahaja, kita juga menganjurkan beberapa aktiviti menarik seperti pertandingan mewarna, melukis dan pidato. Malah cabutan bertuah turut diadakan dengan hadiah hampir RM20,000,” katanya dihubungi SelangorKini.
Jelas Mastura, pihaknya memilih Kompleks PKNS sebagai lokasi penganjuran pesta buku itu kerana mahu memberi peluang kepada masyarakat termasuk pekerja di dalam pusat tersebut.
“Berbanding penganjuran pesta buku sebelum ini, ia terhad kepada pengunjung luar sahaja sedangkan ramai yang ingin membawa anak-anak tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana bekerja.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/12/SIBF-1-500x333.jpg)
“Kali ini kita ambil pendekatan berbeza dan ia selaras saranan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang tidak mahu rakyat Selangor tercicir daripada manfaat diberikan,” katanya.
Pada 30 Mei Amirudin memaklumkan buat julung kali Kerajaan Negeri menganjurkan pesta buku kanak-kanak bagi menggalakkan budaya membaca selain pengembangan industri.
Selangor sejak 16 tahun menganjurkan Pesta Buku Selangor turut mengadakan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 yang merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P-PBAKL-HI-4-500x333.jpg.webp)