Orang ramai mengunjungi reruai di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pesta Buku Antarabangsa Selangor berlangsung Disember, libatkan penulis, penerbit luar negara

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 bakal dianjurkan pada 1 hingga 10 Disember depan melibatkan penyertaan penerbit dan penulis negara luar.

Dato’ Menteri Besar berkata penganjurannya membuka peluang buat Selangor meneroka industri ini di peringkat lebih tinggi selain menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.

“Tahun lepas kita ada tetamu dari negara lain, penulis jiran dan ia beri rangkaian kerja yang besar kepada kita.

“Jadi penganjuran SIBF kali ini memberi peluang untuk Selangor meneroka lagi industri ini di peringkat lebih tinggi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika borak santai sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 30 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika pada borak santai di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 di sini hari ini.

SIBF julung kali dianjurkan pada tahun lalu adalah kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang telah dianjurkan selama 16 tahun.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 1 Disember lalu, pesta buku berkenaan melibatkan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa antaranya United Kingdom, Turki, North Macedonia, Korea Selatan dan Egypt.

Selepas 11 hari penganjuran, SIBF merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung dengan jumlah nilai jualan keseluruhan yang dicatatkan melebihi RM5 juta.

Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :