Orang ramai tidak melepaskan peluang memberli barangan dapur yang dijual murah sempena program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Cengal MBSA, Seksyen 24, Shah Alam pada 9 Julai 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPS: Program JER ditambah baik, jual daging kiub, minyak masak paket

Oleh Nas Norziela Nasbah

SHAH ALAM, 10 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sentiasa menambah baik program jualan murah terutamanya jenis barangan yang ditawar kepada pembeli.

Pengurus Kanan Pemasarannya Md Fazir Abdul Latif berkata antara pembaharuan yang dilakukan ialah menjual menjual paket daging kiub beku berharga RM10 selain daging pejal beku yang juga dijual dengan harga sama.

Pengurus Kanan Pemasaran PKPS Md Fazir Abdul Latif. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“Daging kiub beku itu dijual pada 6 Julai lalu di enam lokasi termasuklah tiga lori EHSAN yang dibawa ke jualan murah. PKPS sentiasa mengambil maklum balas pengunjung seiring agenda negeri umtuk terus melaksanakan program meringankan beban rakyat.

“Kita juga akan menjual minyak masak paket dengan harga RM2 mulai 15 Julai ini. Sebelum ini pun kita sudah jual minyak masak botol, sekarang kita jual paket sebab ada permintaan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini, daging kiub itu hanya dijual di beberapa lokasi jualan murah sebelum diperluaskan ke semua lokasi penganjuran.

“Selain itu, daging kiub beku telah dijual di tiga lokasi Outlet PKPS iaitu Oulet Ehsan Wisma PKPS, Seksyen 9 dan Meru.

“PKPS akan terus meningkatkan keterjaminan kualiti produk. Uniknya barangan yang dijual PKPS adalah seratus peratus dari pengeluaran negeri Selangor

“Pembelian di jualan murah secara tidak langsung memberi sokongan kepada rangkaian pertanian, penternakan sehinggalah kepada pembekal dan pengeluar. Ia sekaligus menyokong serta merancakkan ekonomi negeri ini,” katanya.

Jualan murah itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Jualan Ehsan Rahmah (JER) adalah kesinambungan Jelajah Ehsan Rakyat yang dijenamakan semula pada 1 Jun2023 dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan RM37 juta sejak pelaksanaannya.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri menjual daging kiub satu paket dengan harga RM10. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Pengarang :