Oleh Nina Farzuin Md Sharom
KUALA LANGAT, 3 JULAI: Jentera Pakaran Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib bersiap sedia hadapi pilihan raya negeri (PRN) sejak awal tahun.
Penyandang kerusi DUN Hasnul Baharuddin berkata persiapan itu melibatkan kerjasama dengan Umno Bahagian Kuala Langat serta peringkat ketua cawangan.
“Setakat ini persiapan kami begitu baik, sejak awal tahun lagi iaitu lima bulan sebelum DUN dibubarkan, saya telah buat persiapan dari segi jentera di semua daerah pusat mengundi.
“Saya juga telah duduk semeja dengan ketua Umno Kuala Langat dan juga koordinator Barisan Nasional (BN) di Dun Morib berbincang pelbagai perkara memandangkan ini PRN pertama di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Jamuan Sup Perpaduan Rakyat DUN itu malam tadi.
Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi DUN, Hasnul berkata perkara itu akan dimuktamad di peringkat kepimpinan parti Amanah.
“Walaupun nama saya tersenarai sebagai salah seorang calon, namun terpulanglah pada parti untuk mencalonkan siapa yang akan bertanding di DUN Morib ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Umno bahagian Kuala Langat Datuk Zurihan Yusop berkata pihaknya akan menggunakan pengalaman sedia ada untuk membantu parti di bawah HARAPAN pada PRN.
“Dari segi kerjasama kami tiada masalah malah perbincangan semakin kerap dilaksanakan untuk mencapai kata persetujuan dalam membentuk jentera pilihan raya.
“Kita menggembling tenaga untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Selangor selepas PRN dan diterima rakyat sebagai kerajaan yang akan terus dipercayai,” katanya.