Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Madani HARAPAN di Taman Medan Petaling Jaya pada 5 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rizab negeri kukuh, banyak program kebajikan rakyat dilaksana

PETALING JAYA, 6 JULAI: Rizab negeri yang mencecah RM3.4 bilion ketika ini membolehkan pelbagai inisiatif diperkenal Kerajaan Selangor untuk kesejahteraan rakyat.

Dato’ Menteri Besar berkata program itu antaranya Jualan Ehsan Rahmah iaitu kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat serta Skim Insurans Am Selangor (INSAN) yang memanfaatkan seramai enam juta penduduk negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan negeri ini turut memperkenalkan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi mengatasi pencemaran yang dijangka siap pada Oktober selain projek tebatan banjir dan baik pulih jalan membabitkan peruntukan RM300 juta.

Ia sekali gus mematahkan dakwaan mantan menteri besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa rizab tinggi dicatat pentadbiran ini tidak dibelanjakan untuk rakyat.

“Dulu rizab kita jatuh sampai RM2.14 bilion, sekarang naik jadi RM3.29 bilion dan angka terbaru saya dapat RM3.4 bilion. Dia (Azmin) cakap tak guna rizab banyak, tak belanja untuk rakyat,” katanya pada Jelajah Madani malam tadi.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor itu berkata simpanan kukuh membuktikan pentadbiran negeri mengamalkan pengurusan perbelanjaan berhemah dan berhati-hati.

“Minggu depan saya nak tunjuk berapa banyak dia (Azmin) belanja dan berapa banyak saya belanja.

“Saya buktikan dengan perbelanjaan berhemah dan berhati-hati untuk pastikan wang rakyat tidak sesuka hati digunakan. Kita ada simpanan kukuh dan kita belanja cukup untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.


Pengarang :