Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hasil negeri lepasi sasaran, dikembali kepada rakyat di bawah 44 program kebajikan

SHAH ALAM, 24 OKT: Selangor kekal berdaya saing meskipun ekonomi peringkat nasional terjejas teruk dan mengalami kemerosotan ketika pandemik.

Dato’ Menteri Besar berkata pada tahun 2021, ekonomi Malaysia mencatatkan perkembangan 3.1 peratus namun Selangor mengatasi prestasi tersebut dengan kejayaan perkembangan ekonomi 5.0 peratus.

“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri turut mencatat kutipan hasil yang memberangsangkan dan melebihi sasaran buat tahun ketiga berturut-turut. Hasil inilah yang dikembalikan dalam bentuk program-program kebajikan Iltizam Selangor Penyayang.

“Semoga usaha dan ikhtiar Kerajaan Negeri Selangor ini memberi manfaat buat golongan yang memerlukan di bumi Darul Ehsan ini. Inilah ikhtiar bagi mewujudkan Selangor Negeri Penyayang,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Beliau turut berkongsi kemeriahan penganjuran Jelajah Selangor Penyayang di Klang pada Sabtu dan Ahad yang dihadiri ribuan rakyat.

“Alhamdulillah sambutan yang amat mengalakkan di mana Kerajaan Negeri melalui pelbagai agensi dan anak syarikat telah mempersembahkan 44 program kebajikan di bawah kerangka Iltizam Selangor Penyayang,” katanya.

Iltizam Selangor Penyayang disusun semula daripada Inisiatif Peduli Rakyat menerusi peruntukan RM600 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Pakej bantuan rakyat itu menggariskan enam insiatif iaitu Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor, Iltizam Kesihatan Selangor, Iltizam Pendidikan Selangor, Iltizam Perumahan Selangor, Iltizam Keusahawanan Selangor dan Iltizam Mesra Anak Selangor.

Semalam, Dato’ Menteri Besar turut melancarkan Skim Insurans Am Selangor (INSAN), skim insurans percuma yang memberi perlindungan kepada enam juta rakyat dengan kos premium ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Amirudin Shari beramah mesra dengan pengunjung ketika Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto Facebook Amirudin Shari

Pengarang :