ANTARA cerun di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang telah dilaksanakan kerja penebangan pokok bagi mengurangkan risiko berlaku tanah runtuh bermula 22 Jun 2023. Foto Ihsan Jabatan Kejuruteraan MPAJ
PBTSELANGOR

RM5.96 juta diperuntuk tebang pokok di 61 cerun berisiko tanah runtuh

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 20 JULAI:  Kerja penebangan pokok di 61 cerun berisiko tinggi berlaku tanah runtuh di kawasan Ampang membabitkan kos RM5.96 juta bermula 22 Jun lalu.

Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ir Zafrul Fazry Mohd Fauzi berkata 23 syarikat kontraktor terlibat dalam kerja penebangan pokok itu melalui peruntukan Kerajaan Negeri.

“Kerja penebangan ini bertujuan mengurangkan beban serta pergerakan tanah yang boleh mengundang kejadian tanah runtuh.

“Ini merupakan pelan pengurusan cerun MPAJ yang telah dipersetujui Kerajaan Negeri bagi menjaga keselamatan penduduk yang menetap berhampiran kawasan cerun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melaksanakan kerja penebangan pokok bagi mengurangkan risiko berlaku tanah runtuh bermula 22 Jun 2023. Foto Ihsan Jabatan Kejuruteraan MPAJ

Menurut Zafrul Fazry kerja penebangan itu dijangka siap penghujung September ini.

“Sebelum ini kita jangka kerja bermula April namun proses tender yang mengambil masa menyebabkan ia bermula Jun,” jelasnya.

Pada 20 Januari lalu MPAJ memaklumkan akan menebang semua pokok di 61 cerun berisiko tinggi bagi mengurangkan beban sekali gus mengelak berlaku pergerakan tanah yang boleh mengundang kejadian tanah runtuh bermula April.


Pengarang :