Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan prestasi dan hasil ekonomi negeri ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Amirudin pilihan tepat HARAPAN kekal menangi Selangor

SHAH ALAM, 20 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat keputusan tepat dengan mengekalkan Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai calon Dato’ Menteri Besar dalam pilihan raya negeri (PRN) yang bermula 29 Julai.

Dua ahli akademik terkenal Prof Dr Azmi Hassan dan Prof James Chin, masing-masing dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara dan Pengajian Asia, berkata Amirudin memimpin dengan baik, lapor Free Malaysia Today semalam.

Dr Azmi berkata langkah itu memberi manfaat kepada gabungan tersebut berikutan menteri besar berkenaan menunjukkan pencapaian yang baik memimpin Selangor sejak 2018.

“Sejak lima tahun lalu, pengundi Selangor berpuas hati dan gembira dengan Amirudin,” katanya, mengulas pengumuman Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Julai.

James, pensyarah Universiti Tasmania, Australia, turut meramalkan Amirudin menjadi calon pilihan rakyat Selangor dan meningkatkan peluang HARAPAN menang kembali.

“Saya rasa masyarakat umum di Selangor ialah Amirudin telah melakukan kerja yang baik. Beliau tidak melakukan sebarang kesilapan besar,” katanya kepada portal itu.

Anwar, yang juga perdana menteri, mengumumkan Amirudin kekal sebagai Dato’ Menteri Besar berdasarkan pencapaian ekonomi dan kepemimpinannya.

Sumbangan Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu meningkat lagi 25.5 peratus berbanding 24.8 peratus pada 2021.

Dalam satu tinjauan pendapat, sebanyak 71 peratus orang Melayu di Selangor berpuas hati dengan prestasi keseluruhan barisan pemimpin HARAPAN yang diketuai Amirudin.

Menurut tinjauan firma penyelidikan Endeavour-MGC antara 12 Jun hingga 18 Jun, 68 peratus Melayu di negeri ini berpuas hati dengan pentadbiran Kerajaan Negeri bawah gabungan tersebut sejak 2018.

Amirudin juga mendapat sokongan majoriti responden untuk memimpin semula Selangor sebagai Dato’ Menteri Besar.

Beliau menjadi pilihan paling popular dengan 46 peratus responden menyokong berbanding hanya 6 peratus untuk Dato’ Seri Azmin Ali, 4 peratus Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan 3 peratus Tan Sri Noh Omar.

Orang ramai boleh membaca dan memuat turun laporan pencapaian Kerajaan Selangor sepanjang lima tahun pentadbiran beliau menerusi pautan amirudinshari.com


Pengarang :