Orang Besar Daerah Petaling Datuk Emran Abdul Kadir bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada 14 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sanusi didakwa di mahkamah esok, isu menghina institusi diraja

SHAH ALAM, 17 JULAI: Ketua pengarah pilihan raya Perikatan Nasional akan dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen Selayang esok, dipercayai berhubung kenyataan yang didakwa menghina institusi diraja Selangor, lapor Berita Harian.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dianggap menghina dan mempertikai kewibawaan institusi diraja berhubung pelantikan jawatan Dato’ Menteri Besar dalam satu ceramah di Kampung Bendahara, Selayang pada 11 Julai.

Pendakwaan wakil rakyat PAS itu akan dibuat di Mahkamah Sesyen 1 dan 2 masing-masing di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh dan Hakim Nor Rajiah Mat Zin jam 9 pagi.

Portal itu turut melaporkan Sanusi dijangka menghadapi pertuduhan bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah isu berhubung kenyataan Muhammad Sanusi yang menghina institusi diraja “masih belum selesai.”

Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor membuat aduan di Balai Polis Seksyen 6, di sini, pada 14 Julai berhubung ucapan tersebut.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan terhadap lebih 50 laporan berkait kenyataan Sanusi tidak terhenti meski beliau dilaporkan memohon ampun kepada Baginda.

Sanusi juga sudah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Persekutuan Bukit Aman pada 14 Julai, dengan mendakwa ucapannya sengaja diputar belit bagi menimbulkan salah faham.


Pengarang :