Orang ramai bersiap sedia dengan beg sendiri untuk membawa pulang sebahagian barangan yang dibeli pada Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Selayang di Taman Pelangi pada 10 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tertarik program jualan murah, peniaga tukar tempat undi ke Selangor

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 11 JULAI: Tertarik dengan pelbagai inisiatif disediakan untuk rakyat terutama Jualan Ehsan Rahmah (JER) mendorong seorang peniaga kecil-kecilan menukar tempat mengundi ke negeri ini.

Hamzah Nordin, 50, yang berasal dari Kelantan namun mencari rezeki di Selangor telah lebih 10 kali mengunjungi JER dan mengakui program itu meringankan beban perbelanjaan keluarganya.

“Sebelum ini saya kerja di sebuah syarikat swasta Shah Alam dan selepas berhenti enam tahun lalu saya pindah di Taman Pelangi di sini dan buka kedai makan kecil depan rumah.

Hamzah Nordin

“Sepanjang duduk di Selangor saya lihat pelbagai bantuan diberikan kepada rakyat dan yang paling terkesan pada saya ialah jualan murah yang memang sangat-sangat membantu di kala ekonomi merosot dan harga barang naik.

“Jadi tahun ini buat pertama kali saya akan mengundi di Rawang, Selangor bersama isteri sebab apa yang rakyat Selangor dapat tak ada di Kelantan,” katanya pada JER di sini semalam.

Hamzah juga berharap Kerajaan Negeri sedia ada dapat dikekalkan selepas pilihan raya negeri (PRN) agar JER dan program bantuan lain dapat terus dinikmati rakyat.

Ibrahim Nawin

Pesara guru, Ibrahim Nawin, 74, dari Country Homes juga berharap Kerajaan Negeri sekarang dikekalkan agar program jualan murah yang banyak membantu keluarganya dapat dikekalkan.

“Sebagai pesara kuasa beli saya tidak besar namun bila ada program JER, kita masih boleh beli ayam, daging, beras dan telur setiap minggu.

“Bukan saya dan isteri sahaja, keluarga anak-anak saya pun dapat nikmati faedah jualan murah ini,” katanya yang telah 25 kali berbelanja di JER sejak tahun lepas.

JER yang dikendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).


Pengarang :