Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Warga PDRM perlu utamakan integriti, tata kelola, dukung dasar kerajaan

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Aspek integriti, tata kelola baik serta mendukung dasar kerajaan perlu diutama dan dibudayakan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata semua perkara itu perlu dilaksanakan dalam aspek penugasan.

Beliau berkata, integriti yang utuh akan menjadi benteng daripada terjebak melakukan kemungkaran, sekali gus mengecilkan dan menutup ruang rasuah, lapor Berita Harian.

“Sesungguhnya, kita (warga PDRM) ditakdirkan untuk menjadi seorang pegawai polis dan ia adalah satu profesion yang amat mulia.

“Kita diberi peluang untuk berjihad di jalan Allah melalui tanggungjawab hisbah sebagai khalifah di muka bumi ini, untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Justeru, Razarudin mengingatkan setiap warga PDRM supaya memelihara kerjaya dengan sebaiknya dan tidak menggadai maruah diri bersekongkol dengan sindiket jenayah termasuk penipuan, perjudian, pelacuran, kongsi gelap serta dadah.

“Ingatlah bahawa kita bekerja bukan semata-mata untuk mendapatkan gaji bagi kelangsungan hidup, namun kita perlu mencari keberkatan dalam rezeki halal,” katanya.


Pengarang :