Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13 pada 23 Jun bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan dalam majlis istiadat pengisytiharaan pembubaran DNS di Balai Dewan Diraja Istana Alam Shah, Klang pada 19 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sultan ingatkan calon tidak sentuh isu agama, institusi diraja dalam kempen

SHAH ALAM, 20 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan calon pilihan raya dan penyokong tidak memainkan isu agama dan kaum pada kempen pilihan raya negeri (PRN).

Baginda bertitah ketika Istiadat Pembubaran Dewan Negeri Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 19 Jun lalu.

“Beta ingin berpesan kepada calon-calon pilihan raya yang bakal diadakan nanti, serta penyokong-penyokong mereka agar dapat menjalankan kempen pilihan raya dengan cara yang berhemah dan bertanggungjawab dengan mematuhi undang-undang pilihan raya yang sedia ada serta undang-undang lain yang berkaitan.

“Beta juga menegaskan agar calon-calon dan penyokong mereka tidak memainkan isu-isu yang berkaitan dengan agama dan membangkitkan isu-isu perkauman serta juga isu-isu sensitif lain yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat khususnya di negeri Selangor ini.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melihat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani proklamasi pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13 dalam majlis istiadat pengisytiharaan pembubaran DNS di Balai Dewan Diraja Istana Alam Shah, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Calon-calon dan penyokong mereka juga diingatkan agar tidak mencaci, menabur fitnah dan mengadu domba terhadap pihak lawan ketika berkempen bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat negeri Selangor yang berbilang bangsa ini,” titah Baginda.

DYMM Sultan Selangor amat peka dengan perkembangan politik negara. Kecaknaan Baginda tercermin dalam titah mengenai pemimpin khianat, menipu dan menyalah guna kuasa untuk mengumpul kekayaan diri boleh menjahanamkan negara.

Titah dimuat naik Facebook Selangor Royal Office mengulas khutbah Jumaat pada 21 Oktober 2022, yang mengingatkan pemimpin hanya mahukan kuasa dan mencari kekayaan dunia bakal menjadi perosak dan pengkhianat kepada rakyat dan negara.

Ribuan hantaran sentuh perkauman

Kegusaran Baginda bertepatan dengan kajian Pemantauan Media Sosial Pada PRU15 yang mendapati hantaran berkait perkauman, agama dan institusi diraja menguasai platform media sosial ketika pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Kajian itu dilaksana Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dengan kerjasama Universiti Nottingham Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah dari 20 Oktober hingga 26 November tahun lalu.

Ia membabitkan 49 ahli politik pelbagai parti, 13 parti politik, 16 organisasi media, tiga agensi kerajaan dan 16 pemimpin pendapat.

Ahli politik dikesan pelaku utama menyumbang naratif kaum dalam 66,933 hantaran menerusi Facebook, Twitter, YouTube dan TikTok.

Isu agama mencecah 24,484 hantaran dan institusi diraja ialah 14,320.

Antaranya hantaran dimuat naik seorang pemimpin kanan PAS memainkan sentimen komunis dan ateis terhadap DAP, menarik ribuan komen berbaur perkauman.

Malah, seorang lagi pemimpin kanan parti itu didakwa di mahkamah pada 18 Julai kerana menyampaikan ucapan kempen politik mempertikai keputusan DYMM Sultan Selangor dalam pelantikan Dato’ Menteri Besar.

“Daripada semua isu dipantau, hantaran mengandungi isu kaum paling banyak pada tahap parah tinggi,” menurut kajian itu.

Kajian berkenaan mentakrifkan tahap parah sebagai perkembangan pertuturan tidak bertolak ansur, diskriminasi dan tidak berperikemanusiaan, selain menghasut keganasan dan kecederaan terhadap tubuh badan.

Kajian berkenaan turut mengulas hantaran kebencian di media sosial berhubung isu warga asing dan orientasi seks.

Titah DYMM Sultan Selangor mengenai politik kebencian mendapat dukungan orang ramai dalam tinjauan Selangorkini pada 7 Julai:

Hanani Salleh

Jangan campur agama dan politik. Memang politik itu hak masing-masing tapi bila cakap kena berpada-pada. Kalau boleh pilihan raya ini berhati-hati lontar pandangan.
Hanani Salleh, 56

Kalau boleh elakkan perdebatan, tak perlu provokasi. Bergaduh hal tak ada kena mengena seperti isu kaum memang sangat remeh. Tak bagus rakyat tengok.
Muhammad Afiq Zulkafali, 29

Mazli Zanzilah

Isu agama memang patut dari dulu tak boleh usik. Titah Tuanku itu mengingatkan, sebab tugas Baginda juga menjaga kesucian agama Islam.
Azura Sharin, 52

Ahli politik suka cakap isu kaum atau agama sebab benda ‘panas’. Rakyat kena bijak, tengok mana yang jaga rakyat. Jangan mudah terpedaya.
Mazli Zanzilah, 53

Isu perkauman melampau menambah ketegangan kaum. Isu agama lebih teruk, apalagi ke arah takfiri dan pandangan melampau yang tidak mengikut Islam sebenar. Kalau dibiarkan, jurang kaum akan lebih luas.
Nik Pa Nik Leh, 70


Pengarang :