Sebuah pesawat ringan terhempas di jalan raya berdekatan kawasan perumahan di Elmina Central Park Seksyen U16 Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto Bernama
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

10 maut termasuk orang kenamaan dalam nahas pesawat terhempas

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 17 OGOS: Seramai 10 mangsa termasuk orang kenamaan dikhuatiri maut dalam nahas pesawat ringan di Elmina Central Park Seksyen U16 Shah Alam hari ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia mengesahkan dua kru dan enam penumpang pesawat selain seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta terbunuh.

Bagaimanapun, Mohamad Shoki Hamzah ketika dihubungi berkata pihaknya masih menunggu maklumat polis berkaitan kemungkinan ada lebih daripada seorang individu berada dalam kereta tersebut.

“Mengenai orang kenamaan yang turut menjadi mangsa kena minta pengesahan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan setakat jam 5.15 petang ini hanya mengesahkan 10 lelaki maut dalam kejadian berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata sebuah pesawat terhempas di jalan raya berdekatan kawasan perumahan di Bandar Elmina dekat sini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berluasa Penerbangan Awam Malaysia pula, pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi jam 2.08 petang ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang .

Dato’ Kapten Norazman Mahmud menjelaskan menara kawalan Subang memberi kebenaran mendarat pada jam 2.48 petang sebaliknya asap kelihatan dari lokasi nahas tiga minit kemudian. Namun, tiada panggilan kecemasan dibuat pesawat itu.

 


Pengarang :