Sebuah pesawat ringan terhempas di jalan raya berdekatan kawasan perumahan di Elmina Central Park Seksyen U16, Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto Twitter Bernama
AGENDANASIONAL

MB ucap takziah kepada keluarga nahas pesawat, seru jangan sebar gambar mangsa

SHAH ALAM, 17 OGOS: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas pesawat ringan di Elmina Central Park Seksyen U16 Shah Alam, hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter turut mendoakan ahli keluarga mangsa tabah dan sabar menghadapi ujian tersebut.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada mangsa yang terlibat dalam kejadian tragik nahas kapal terbang di Shah Alam petang ini.

“Saya menyeru agar semua pihak tidak menyebarkan imej mangsa dan menimbulkan sebarang spekulasi tidak berasas bagi menghormati keluarga mangsa,” katanya.

Sekurang-kurangnya 10 mangsa termasuk orang kenamaan dikhuatiri maut dalam nahas pesawat ringan di Elmina Central Park Seksyen U16 Shah Alam hari ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia mengesahkan perkara itu memaklumkan dua kru dan enam penumpang pesawat selain seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta terbunuh.

Bagaimanapun, Mohamad Shoki Hamzah ketika dihubungi berkata pihaknya masih menunggu maklumat polis berkaitan kemungkinan ada lebih daripada seorang individu berada dalam kereta tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan setakat jam 5.15 petang ini hanya mengesahkan 10 lelaki maut dalam kejadian berkenaan.


Pengarang :