ADN Kinrara Ng Sze Han akan menyelesaikan isu tertunggak kawasan itu sebelum ini selepas dipilih menjadi wakil rakyat semula. Foto Facebook Ng Sze Han
ADNSELANGOR

ADN Kinrara tekad selesaikan isu penduduk, tarik pelabur luar

Oleh AMIRUL FAZLI

SHAH ALAM, 16 OGOS: Ahli Dewan Negeri Kinrara akan meneruskan gerak kerja untuk mengatasi beberapa isu yang tidak sempat ditangani sebelum ini.

Ng Sze Han berkata terdapat beberapa isu harus diberi tumpuan antaranya kesesakan lalu lintas serta menaik taraf taman awam agar orang ramai boleh beriadah dengan selesa.

Selain itu katanya beliau akan berusaha menarik pelaburan bagi mewujudkan peluang pekerjaan khususnya berkemahiran tinggi.

“Kita berusaha tangani kesesakan lalu lintas termasuk menurap jalan berlubang di beberapa kawasan dan ketika ini kita masih menunggu peruntukan tambahan untuk kerja tersebut.

“Saya juga akan cuba wujudkan peluang pekerjaan dengan menarik pelabur ke kawasan strategik terutama di kawasan perindustrian Puchong,” katanya kepada Selangorkini.

Tambahnya kemenangan dengan majoriti besar bermakna tanggungjawab juga akan lebih besar bagi menjalankan amanah selaku wakil rakyat DUN Kinrara.

Dalam pilihan raya negeri Sabtu lalu Sze Han memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 54,535 menewaskan Wong Yong Kang dari Perikatan Nasional.


Pengarang :