Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas (tiga, kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (tiga, kiri) menunjukkan memorandum persefahaman yang dimeterai bagi menawarkan pembiayaan kepada usahawan bawah Bizclub PKNS di ibu pejabat PKNS, Shah Alam pada 2 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Biaya hingga RM500,000 bantu usahawan PKNS luas rangkaian niaga

SHAH ALAM, 2 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memeterai kerjasama bersama Agrobank bagi membantu usahawan mendapatkan modal tambahan sehingga RM500,000.

Ketua pegawai eksekutif PKNS berkata pembiayaan tersebut juga membolehkan usahawan bawah BizClub meluaskan rangkaian perniagaan termasuk memasarkan produk ke luar negara.

“Menerusi modal tambahan ini juga, ia dapat membantu usahawan melaksanakan perancangan perniagaan daripada segi pembelian mesin atau penambahbaikan bungkusan,” kata Dato’ Mahmud Abbas.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (kanan) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) menerusi tawaran pembiayaan kepada usahawan bawah Bizclub PKNS di ibu pejabat PKNS, Shah Alam pada 2 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Ketua Pegawai Eksekutif AgroBank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussi di ibu pejabat PKNS di sini hari ini.

Sementara itu, Tengku Ahmad Badli Shah menyasar pembiayaan sehingga RM25 juta bagi tempoh dua tahun untuk usahawan mengembangkan perniagaan dan bersedia menambah dana mengikut keperluan.

“Kerjasama strategik ini diharap memberi manfaat kepada usahawan membina perniagaan mereka. Kami yakin kepelbagaian produk pembiayaan ditawar menyelesaikan kewangan golongan sasar,” katanya.

Menerusi kerjasama itu, pelbagai program pembiayaan ditawarkan seperti Pemulih Mikro Kredit, yang melibatkan pembelian aset dan modal pusingan bagi aktiviti berasas pengeluaran makanan.


Pengarang :